JOHOR BAHRU: Akaun Telegram milik Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu digodam oleh scammer.

Dr Aman memaklumkan perkara itu disedarinya selepas ada pihak menerima mesej menerusi aplikasi tersebut yang mengatakan beliau mahu meminjam wang.

"Mohon kemaafan untuk semua yang mengenali saya, sila abaikan permintaan daripada akaun Telegram saya yang mengatakan mahu meminjam wang.

"Dimaklumkan bahawa akaun Telegram saya telah digodam. Harap maaf dan maklum," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dalam satu kenyataan menerusi Facebook rasmi milik jabatan tersebut turut memaklum perkara sama.


"Segala WhatsApp ataupun mesej dalam Telegram yang menyamar sebagai yang berhormat Datuk Dr Aman Rabu yang meminta duit daripada pelbagai individu adalah palsu dan merupakan scammer yang menyamar sebagai beliau.

"Mohon semua yang mesej itu supaya jangan terpedaya," menurut kenyataan berkenaan.